Udang Geragau (juga dikenali sebagai udang baring atau udang geraguk) ianya macam udang kering, tapi udang baring ini merupakan sejenis udang yang bersaiz kecil, lebih nipis dari udang kering. Udang geragau hanya boleh didapati di pantai-pantai tertentu sahaja. Udang geragau mengandungi kandungan protein yang tinggi.
Di Melaka, udang geragau amat popular kerana ia bahan utama dalam pembuatan cencaluk dan belacan. Udang geragau boleh didapati di Pantai Klebang, Limbongan, Pengkalan Balak dan Tanjung Kling. Cara menangkap geragau adalah dengan menyungkur menggunakan jaring bermata halus. Biasanya, ia akan muncul untuk dua atau tiga hari dan kemudiannya akan hilang. Menurut nelayan tepi pantai, apabila air laut kelihatan kemerah-merahan, mereka akan mencuba nasib dengan menyungkur di waktu air laut surut.
Admin pernah melalui pengalaman berjumpa dengan nelayan yang menangkap udang baring ini pada waktu malam di Pantai Pengkalan Balak, Melaka. Nelayan akan memakai lampu suluh yang disangkut dikepala dan berjalan sepanjang pantai dengan air paras pinggang ke dada. Seperti yang dimaklumkan oleh nelayan, ketika musim udang ini biasanya terdapat banyak obor-obor. Dan waktu nelayan sedang menangkap udang baring ini, kebiasaannya mereka akan menyediakan pisau atau gunting untuk menggunting tali tangsi pemancing yang memancing di tepi-tepi pantai bagi mengelakkan mereka tercedera dan terjerut.